Pandai Busana Baju Kurung - Sejarah dan Latar Belakang PDF Print E-mail
Article Index
Pandai Busana Baju Kurung
Pengenalan
Sejarah dan Latar Belakang
All Pages
  

7.2    Sejarah dan Latar Belakang

Asal usul dan sejarah pemakaian baju kurung sangat sukar ditentukan. Persoalan tentang siapa yang mula-mula menghasil dan memakainya timbul kerana baju kurung dalam bentuk asalnya telah dipakai oleh pelbagai etnik di wilayah Nusantara. Berdasarkan maklumat dalam Archjadi Judi (1986), baju kurung telah diperkenalkan di Indonesia oleh pedagang Islam dan India. Walau bagaimanapun, potongan baju ini juga dipercayai telah menerima pengaruh Timur Tengah seperti potongan leher berbentuk tunik, iaitu bentuk leher yang mula-mula dipakai oleh orang Arab zaman silam.
Semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka pula, penduduknya telah mempunyai pakaian mereka sendiri, iaitu pakaian baju kurung Melayu asal. Berbeza daripada baju kurung sekarang yang longgar dan labuh, baju yang dipakai oleh mereka ketika itu dalam keadaan ketat dan singkat. Berdasarkan maklumat Sejarah Melayu, Tun Hassan Temenggung merupakan orang pertama mengubah suai bentuk baju kurung asal kepada bentuk baju Melayu yang dipakai kini.
 
Mohd. Said (1931) menyatakan pakaian baju kurung sekarang berasal dari Johor semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura.  Seorang pengkaji sejarah pakaian dan tekstil, Gettinger (1979) pula telah menyatakan baju kurung merupakan pakaian yang dipakai oleh penari istana di Palembang.  Beliau juga menyatakan pakaian tersebut popular di Sumatera pada abad ke-20. Tenas Effendy (1989) telah mengumpul ungkapan orang tua di daerah Riau, daerah rumpun Melayu yang terdekat dengan Malaysia (Semenajung Tanah Melayu) tentang baju kurung. Baju kurung yang digambarkan oleh beliau ialah baju kurung teluk belanga atau baju kurung yang dijahit dengan jahitan tulang belut di bahagian leher yang nampak halus dan rapi. Pakaian ini merupakan pakaian wanita yang bersopan dan juga pakaian setiap ahli dalam golongan masyarakat untuk pelbagai majlis dan adat.
 
Mengikut Siti Zainon (2006) pula, baju kurung ialah pakaian yang popular di kalangan orang Melayu. Pakaian ini merujuk kepada pola panjang untuk baju wanita, manakala pola pendek untuk baju lelaki. Baju kurung mempunyai ciri khusus yang membezakannya dengan pakaian lain.  Pengertian kurung mempunyai persamaan dengan konsep pakaian menutup anggota tubuh. Ciri ini didapati menepati dengan konsep cara Melayu selepas kedatangan Islam. Beliau juga telah mendapati pelbagai jenis kurung mendapat inspirasi daripada baju kurung, antaranya ialah Kurung Kedah, Kurung Cekak Musang, Kurung Teluk Belanga dan Kurung Pesak Gantung. Kini baju kurung yang labuh paras lutut hanya disebut sebagai baju kurung sahaja dan telah dikhususkan untuk pakaian wanita.
 
Dari segi sejarah pula, baju kurung lelaki dan wanita pada asalnya dinamakan baju kurung teluk belanga. Nama itu diambil daripada nama suatu tempat di Teluk Belanga, Singapura, sempena pemakaian baju tersebut oleh Sultan Abu Bakar semasa bersemayam di sana. Nama baju itu diberi berasaskan perubahan oleh baginda, khususnya daripada segi potongan yang lebih anggun dan jahitan yang lebih halus dengan memperkenalkan jahit tangan tulang belut di bahagian leher dan sembat di bahagian kelim dan kelepet (Azah Aziz 2006).

 
Untuk Artikel Lengkap, dalam [Sains dan Teknologi Alam Melayu>>

 

  


 

Ikuti Kami...

Facebook Twitter Google Bookmarks

Lokasi Anda Sekarang

Your IP address: 54.211.153.104
Country:   US