Tanggam - Pengenalan PDF Print E-mail
Article Index
Tanggam
Pengenalan
All Pages
  

Pengenalan

Pada umumnya "Kaedah Tanggam" merujuk kepada suatu bentuk disiplin penyambungan kerangka binaan, khususnya kayu. Kaedah penyambungan yang dikenali sebagai "tanggam" ini merupakan nsur penting dalam pembinaan rumah-rumah warisan Melayu. Tanpa kaedah ini, binaan rumah Melayu tidak akan wujud seperti yang kita kenali. Ini kerana dalam binaan rumah warisan Melayu, tanggam mewakili hampir setiap bentuk penyambungan bahagian yang wujud dalam binaan sesebuah rumah.

Dari sudut bahasa, perkataan "tanggam" berkisar kepada pelbagai kerja penyambungan. Bagi masyarakat Melayu Kelantan khususnya, ia difahami sebagai proses pemasangan kerangka bangunan kayu di peringkat percubaan dan disebut "tanggam-menanggam". Tanggam juga bermaksud "masuk", manakala sebilangan masyarakat memahaminya sebagai "sendi bangunan" atau "penyepit".

Manakala dari sudut istilah, tanggam bermaksud "sambungan kayu bertakuk-takuk supaya dapat dihubungkan dengan rapat dan kukuh". Walton (1971) menyatakan bahawa "tanggam adalah kepingan kayu yang diukir untuk sesuatu tugas tertentu. Mengikut pengalaman tukang Melayu terdahulu, nisbah sukatannya telah menjadi piawaian supaya mendapat kekuatan yang paling tinggi apabila kepingan tersebut disambungkan.

Penggunaan tanggam bermula sejak 10,000 tahun yang lalu, apabila terciptanya alat pertukangan yang lebih baik selari dengan perkembangan tamadun manusia. Bentuk tanggam yang pertama dilaksanakan berkemungkinan adalah "tanggam lekap" kerana kaedah tanggam ini merupakan yang paling mudah. Di Malaysia, penggunaan tanggam pertama dipercayai bermula dengan lekapan mudah antara dua atau tiga batang kayu bulat yang diikat dengan rotan atau akar. Contoh binaan sebegini masih boleh dilihat pada binaan Rumah Dangau di Ulu Kelantan dan di Grik.

Dalam binaan rumah warisan Melayu, kaedah tanggam merupakan cara sambungan kayu atau satu kaedah yang menggabungkan setiap bahagian tunggal bangunan supaya membentuk satu ikatan atau jalinan rangka yang teguh. Ini adalah kerana kekuatan keseluruhan kerangka bangunan bergantung pada kualiti jalinan kaedah tanggam. Namun begitu, alat-alat pertukangan tradisional seperti beliung, kapak, baji, pahat, ketam kayu, penukul kayu dan gergaji alang membantu dalam pembuatan kaedah tanggam warisan.

Sebelum kaedah memaku menggunakan paku logam sebagai pilihan penyambungan diperkenalkan, tanggam warisan telah memainkan peranan yang sangat penting sebagai satu kaedah menyambung bahagian bangunan yang lengkap. Dalam pembinaan rumah warisan Melayu, kepentingan kaedah tanggam sudah tidak dapat dinafikan lagi kerana tanpa tanggam bangunan ini tidak dapat didirikan.

Bagi kaedah tanggam yang direka bentuk dengan baik dan dibantu pula dengan pembuatan yang kemas dan berhati-hati, bahagian bangunan yang telah lengkap dan siap dipasang boleh dibuka atau ditanggalkan satu persatu untuk tujuan pengubahsuaian dan boleh dipasang semula.

Kelebihan ini bersesuaian dengan cara hidup bermasyarakat Melayu terdahulu yang mengambil kira pelbagai nilai seperti adat, kehidupan beragama, kekeluargaan dan kemewahan dan sumber rezeki. Pengubahsuaian dan perubahan cara hidup yang dapat dilakukan dengan wujudnya kaedah tanggam ini termasuklah aktiviti perpindahan tapak rumah, penambahan modul rumah, pemecahan bahagian rumah, pengubahsuaian kerangka dan butiran, pengurangan ruang hinggalah penukaran aras lantai tanpa perlu membuang atau merosakkan bahagian binaan.

Satu lagi ciri bitara dalam kaedah tanggam warisan ini ialah wujudnya unsur pengunci sebagai pengukuh keseluruhan kerangka bangunan. Meskipun kaedah tanggam umumnya boleh dipasang dan dibuka dengan mudah, tanpa bahagian pengunci, kerangka bangunan tidak dapat berdiri kejap atau kukuh. Komponen "pemeting" atau nama lainnya "cemat penetap" adalah bertujuan sebagai pengunci sambungan supaya tidak tertanggal. Tambah bitara lagi, pemeting tidak perlu dikenakan kepada setiap bahagian tanggam kerana susunan pemasangan setiap bahagian bangunan telah disusun menurut urutan yang mengikat keseluruhan kaedah tanggam. Ia sering kali hanya dipasang kepada unsur terakhir yang bertindak sebagai pengunci.

Selari dengan perkembangan peralatan pertukangan dan kehalusan seni kayu masyarakat Melayu terdahulu, kaedah tanggam berkembang daripada sambungan lekapan yang bersifat asas kepada suatu dayacipta seni, ketepatan dan perkiraan kerangka yang penting. Kemahiran setiap tukang dalam membentuk kaedahnya yang tersendiri menjadikan kaedah tanggam warisan sebagai salah satu daripada warisan rekacipta Melayu yang unggul.
 
Untuk Artikel Lengkap, dalam [Sains dan Teknologi Alam Melayu>>
  

 



 

  

 

Ikuti Kami...

Facebook Twitter Google Bookmarks

Lokasi Anda Sekarang

Your IP address: 107.22.45.61
Country: